Tuesday, June 13, 2017

Dari meja pengetua


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera,
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT kerana dengan izin-Nya dapat saya mencoretkan sepatah dua kata di dalam ruangan portal ini. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Jawatankuasa ICT (Information and Communication Technology) kerana telah berjaya membina blog rasmi untuk SMK Hang Kasturi.



Sesungguhnya kemajuan serta perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) pada hari ini sesuatu yang tidak boleh dinafikan lagi. Justeru itu, kita harus mengorak langkah menerima perubahan dan meningkatkan kemahiran dari pelbagai aspek.  Kita tidak mahu dilabelkan sebagai guru yang  ketinggalan dalam dunia penguasaan maklumat dan paling membimbangkan mengekang kita untuk terus berhadapan dengan  pelajar dan melaksanakan tugas mendidik mereka yang jauh menguasai pelbagai kecanggihan ICT masa kini.

Namun, harus juga diingatkan bahawa penyalahgunaan teknologi dan ruangan siber menghasilkan banyak masalah hingga menyebabkan nilai-nilai masyarakat Malaysia yang baik mulai merosot dan digantikan dengan unsur-unsur negatif yang baru. Oleh itu, isu-isu etika perlulah diberi keutamaan yang tinggi dalam usaha kita mengintegrasikan teknologi dalam pendidikan.

Oleh itu, saya menyeru agar warga SMKHK dari pelbagai lapisan dapat meningkatkan penguasaan dan kemahiran ICT masing-masing khususnya dalam proses pembelajaran dan pengajaran di bilik darjah, selari dengan transformasi Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu memanfaatkan ICT bagi meningkatkan Kualiti Pembelajaran di Malaysia. Marilah kita berusaha memajukan diri dan murid-murid di sekolah ini agar dapat bersaing dalam pelbagai bidang di peringkat global dengan memanfaatkan laman portal ini sepenuhnya.
Akhir kata, terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam membangunkan laman blog rasmi SMK Hang Kasturi ini.  Wassalam

Sekian, terima kasih.

Pengetua

SMK Hang Kasturi,
Masjid Tanah, Melaka.

No comments:

Post a Comment